WALAUPUN terlibat kemalangan kecil dalam perjalanan ke stadium, semangat Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid tetap berkobar-kobar mahu menyokong pasukan bola sepak Selangor FC.
Menceritakan kejadian itu kepada Flash Sukan pada Sabtu, Mohd Faizal dilanggar lari namun bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.
“Ya, saya menghadapi kemalangan kecil semalam (Jumaat malam). Tetapi, jiwa untuk menyokong hadir ke stadium berkobar-kobar dan akhirnya berbaloi dengan kemenangan yang amat berharga.
“Saya yakin penyokong yang datang pasti terhibur dengan persembahan dibentangkan oleh pasukan Selangor,” ujarnya.
Ketika diajukan respons mengenai aksi para pemain Merah Kuning atas padang, dia secara keseluruhan berpuas hati corak permainan yang disifatkan agak tersusun.
“Inilah sebenarnya permainan Selangor saya dan penyokong impikan sebab tidak memberi peluang kepada Sri Pahang bangkit selepas ketinggalan.
“Cuma agak membimbangkan apabila setiap game Selangor pasti ada bolos. Saya berharap dengan rehat yang cukup panjang ini pertahanan Selangor akan lebih mantap lagi,” katanya.
Pada pertemuan di Stadium MBPJ itu, Selangor menang bergaya 3-1 mengatasi pelawat yang kelihatan serba tidak menjadi sepanjang 90 minit permainan.