TIGA perlawanan Liga Premier berturut-turut dilalui Perak FC berakhir dengan siri kekalahan yang mengecewakan buat peminat setia pasukan itu.

Terbaharu, The Bos Gaurus tewas lagi, kali ini dikalahkan UiTM FC 2-1 semasa kunjungan ke Shah Alam pada Sabtu.

Dua gol oleh Faris Hafiz Azhar membantu UiTM FC menewaskan Perak sebelum Wan Zack Haikal membalas untuk pasukan pelawat.

Prestasi merudum Perak itu segera mendapat respon daripada Ketua Pegawai Eksekutif The Bos Gaurus (TBG), Bobie Farid Samsudin.

“Memang dah duga kalah malam ini. Motivasi pemain semua ke laut dah.

“Jadi takyah la harap apa-apa lagi untuk tahun ni. Kita susun tahun depan,” kata Bobie.

Perak kembali ke dasar liga dengan sekadar mengutip tujuh mata selepas mengharungi kempen 17 perlawanan sepanjang musim.

Untuk rekod, kemenangan terakhir dicatat ketika menumbangkan Kelantan FC, 2-1 di Kota Bharu, bulan lepas.

Anak buah Yusri Che Lah akan melengkapkan jadual pertandingan musim ini bertemu Kuching City FC di Ipoh pada 17 September depan.