JURULATIH skuad Bawah-23 (B-23) Malaysia, Brad Maloney tidak panik berikutan kekalahan 1-2 kepada Timor Leste dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium UiTM Shah Alam, pada Jumaat.
Ketika dihubungi Flash Sukan, Maloney tetap berfikiran positif dan menilai para pemain tidak bermain buruk seperti disangkakan.
“Ada beberapa peluang kita buat untuk dapatkan gol cumanya Timor Leste bermain lebih baik berbanding kita. Banyak peningkatan skuad itu sejak diuruskan oleh Fabio Magrao.
“Kita kena positif dan saya akan terus fokus kepada mengenalpasti kelemahan dan memperbaiki lagi untuk perlawanan selepas ini,” ujarnya masih dalam peringkat eksperimen apabila ramai lagi pemain belum melaporkan diri bersama pasukan.
Benteng pertahanan negara juga disifatkan agak baik mengekang asakan lawan kerana Timor Leste hanya berjaya mendapatkan gol di babak kedua.
Skuad B-23 negara bakal berdepan satu lagi perlawanan persahabatan sebagai persiapan ke Sukan SEA ke-31 Vietnam dengan menentang B-23 Filipina pada Ahad sebelum memuktamadkan senarai terakhir 20 pemain untuk ke Hanoi pada 4 Mei.