PRESTASI perseorangan lelaki negara di Terbuka Jerman tidak akan menjadi ukuran mutlak dalam menentukan senarai akhir skuad Piala Thomas negara apabila kempen sebenar bermula nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan, pemilihan pemain tetap berasaskan penilaian menyeluruh oleh barisan jurulatih, bukannya keputusan satu kejohanan semata-mata.

Kenyataan Chong Wei itu hadir susulan kekalahan awal Leong Jun Hao dan Justin Hoh di pusingan pertama Terbuka Jerman yang mencetuskan tanda tanya mengenai kesiapsiagaan pasukan.

Menurut beliau, tempoh kira-kira hampir dua bulan sebelum Piala Thomas masih memberi ruang luas kepada pemain memperbaiki prestasi serta membuktikan kemampuan masing-masing.

“Untuk Piala Thomas, ia bergantung kepada jurulatih kerana mereka bersama pemain setiap hari dan tahu keadaan sebenar,” katanya, pada pelancaran kejohanan Piala Lee Chong Wei di Akademi Badminron Malaysia (ABM).

“Kita tidak boleh bandingkan prestasi sekarang kerana masih ada masa, jadi kita mahu pilih pemain yang benar-benar berada dalam kondisi terbaik,” katanya lagi.

Lee turut menegaskan setiap laporan prestasi pemain dari kejohanan antarabangsa akan dianalisis secara terperinci sebelum keputusan dibuat.

Pendekatan itu dilihat penting bagi memastikan skuad negara turun dengan kombinasi paling seimbang dari segi pengalaman, kecergasan dan momentum.

Justeru, kekalahan di Jerman dianggap sebahagian daripada proses penilaian, bukan gambaran akhir kekuatan Malaysia menjelang saingan Piala Thomas nanti.