PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui gembira dapat kembali menjalani latihan berteraskan kaedah Asia sejak beberapa bulan lalu, sekali gus berharap perubahan itu mampu mengangkat prestasinya di Terbuka Malaysia.

Pemain ranking ke-28 dunia itu mengakui pendekatan latihan intensif ala Eropah sebelum ini memberi pendedahan baharu, namun berasakan lebih serasi dengan sistem tradisi yang membentuk kariernya sejak remaja.

Justeru, Jun Hao menyifatkan peluang menjalani latihan berbeza kendalian jurulatih perseorangan remaja, Datuk Tey Seu Bock sebagai langkah tepat untuk memulihkan keyakinan serta sentuhan terbaiknya.

“Sebelum ini ada sedikit perubahan dalam ke gaya latihan sebelum ini (Asia). Ini mungkin satu kebaikan untuk saya dan saya harap dapat mencari semula sentuhan dan pencapaian yang pernah saya raih dulu,” katanya.

Mengulas lanjut, Jun Hao menegaskan beliau tidak menolak pembaharuan, namun perubahan program latihan memerlukan masa untuk adaptasi terutama dari sudut mental.

“Bukan tidak boleh terima, tetapi bila sudah lama biasa dengan sistem sedia ada, perubahan itu memang rasa agak sukar walaupun corak permainan di gelanggang hampir sama,” jelasnya.

Menjelang aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia, Jun Hao dijadual menentang pemain China, Wang Zheng Xing, dan bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengelak episod tersingkir awal berulang.