TEKA-TEKI mengenai nasib tujuh pemain warisan Harimau Malaya dijangka terjawab minggu depan apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bakal mengumumkan keputusan berhubung rayuan kes berprofil tinggi itu.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan pegawai CAS, Vanessa menerusi e-mel selepas sesi pendengaran rayuan membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berkenaan berlangsung semalam.

Menurutnya, panel hakim memerlukan masa untuk bermesyuarat serta membuat pertimbangan lanjut sebelum mengeluarkan keputusan rasmi.

“Susulan sesi pendengaran hari ini, panel akan mengambil masa untuk bermesyuarat dan membuat pertimbangan. Saya tidak dapat memberikan tempoh masa yang tepat bagi keputusan itu, namun keputusan (tanpa alasan penghakiman) dijangka akan dikeluarkan minggu depan.

“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, satu kenyataan media akan dikeluarkan. Selepas keputusan diumumkan, satu penjelasan penuh akan disediakan dan dikeluarkan kepada pihak terbabit,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan penuh hanya akan disiarkan di laman sesawang CAS sekiranya tiada permohonan kerahsiaan daripada pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.

Berdasarkan senarai pendengaran di laman rasmi CAS, tujuh pemain warisan yang terlibat ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel bersama FAM sebagai pihak perayu.

Sebagai rekod, FIFA pada September lalu mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,650) selain digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak susulan kes pemalsuan dokumen.

Rayuan awal kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA pada November lalu ditolak, sekali gus menyaksikan hukuman asal dikekalkan sebelum FAM membawa kes itu ke CAS.

Pada Januari lalu, CAS membuat keputusan interim menangguhkan penggantungan 12 bulan yang dikenakan ke atas tujuh pemain terbabit, membolehkan mereka kembali beraksi bersama kelab masing-masing sementara menunggu keputusan muktamad.

Kini, seluruh peminat bola sepak negara menantikan keputusan akhir CAS yang bakal menentukan hala tuju karier tujuh pemain warisan itu serta implikasinya terhadap perancangan skuad Harimau Malaya selepas ini.