PROGRAM Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSDP) dijangka dilancarkan tahun hadapan, dalam usaha memperkasa pembangunan bakat sukan itu di seluruh negara.

Menurut Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Somali Reduan, program sedemikian sudah lama dicita-citakan badan induk sepak takraw negara yang mahu mempunyai bakat yang besar di peringkat akar umbi, yang diuruskan secara sistematik.

“Kali ini kita serius dan bengkel hari ini juga mendapat sambutan baik dengan kehadiran hampir semua persatuan negeri, wakil-wakil Majlis Sukan Negara (MSN), kementerian (Kementerian Pendidikan Malaysia-KPM).

“MSN sedia membantu daripada sudut mana yang mereka boleh bantu baik dari segi kelengkapan, penganjuran kejohanan dan sebagainya,” kata Somali, selepas Bengkel Program NSDP, di ibu negara, hari ini.

Menurut Somali, penubuhan NSDP mensasarkan untuk membangunkan bakat seawal usia 10 tahun hingga 18 tahun.

Bengkel terbabit berlangsung dua hari sehingga esok, akan membincangkan penstrukturan, peranan dan kaedah pelaksanaan NSDP.

Menurutnya, sebaik memperoleh resolusi daripada bengkel tersebut, PSM akan membuat rumusan dan kertas kerja sebelum dipersembahkan kepada MSN dan pihak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.