SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John menjelaskan bahawa tindakan susulan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya akan dibuat selepas keputusan muktamad dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sama ada melalui Jawatankuasa Rayuan atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Menurutnya, segala keputusan dan dokumen berkaitan akan diserahkan semula kepada AFC untuk diteliti sebelum Jawatankuasa Tatatertib AFC menentukan bentuk tindakan yang sesuai berdasarkan kesalahan yang dikenal pasti. “Semuanya bergantung kepada fail kes yang dikembalikan oleh FIFA. Kami akan meneliti kandungannya dan menentukan apa yang telah dilanggar,” katanya.
Windsor turut menjelaskan bahawa AFC hanya akan menilai aspek eligibility atau kelayakan pemain, kerana isu utama yang dibangkitkan kepada FIFA adalah mengenai status sah pemain-pemain berkenaan untuk mewakili Malaysia. “Aduan kepada FIFA bukan tentang kewarganegaraan secara umum, tetapi tentang kelayakan untuk bermain bagi pasukan kebangsaan. FIFA menyiasat dari sudut itu, dan AFC akan melihat perkara sama,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa AFC perlu menyelesaikan proses tersebut sebelum 31 Mac tahun depan, iaitu selepas aksi terakhir Kelayakan Piala Asia, bagi memastikan kelancaran proses undian kumpulan.
“Selepas perlawanan terakhir pada 31 Mac tahun depan, kami perlu tahu pasukan mana yang layak sebelum undian bermula. Sebab itu kami berharap semua keputusan dapat disiapkan sebelum tarikh tersebut,” jelas Windsor.
Katanya lagi, proses kehakiman bola sepak mengambil masa kerana perlu mengikut garis masa dan tatacara rasmi. “Ia bukan proses yang cepat, tetapi kami akan pastikan semuanya mengikut prosedur dan adil kepada semua pihak,” katanya.