KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah tegas, mencadangkan supaya dana tambahan kepada FAM dihentikan serta-merta, sehingga keyakinan terhadap pentadbiran badan itu dipulihkan sepenuhnya.

Menterinya, Hannah Yeoh menegaskan langkah ‘beku sementara’ itu perlu bagi memastikan hala tuju pembangunan bola sepak negara kembali berada di landasan yang betul.

“Kita hentikan dulu dana tambahan… fokus selesaikan isu dan pulihkan semula keyakinan rakyat,” katanya, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Tindakan itu hadir susulan skandal pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang mengundang tempias besar kepada nama baik negara.

Isu berprofil tinggi itu turut menyaksikan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sepakat menuntut ketegasan luar biasa daripada FAM.

Dalam masa sama, Hannah ‘mengetatkan pintu’ warisan apabila menegaskan setiap permohonan atlet atau pemain luar negara perlu dirujuk kepada Majlis Sukan Megara (MSN) terlebih dahulu.

“Ini kerana melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) atau program akar umbi, dana sudah dibelanjakan untuk melahirkan atlet pembangunan yang berkualiti. Jadi mereka tahu sama ada kita benar-benar perlukan pemain warisan atau tidak,” katanya.

Hannah memberi jaminan KBS akan mengambil pendekatan lebih berhati-hati selepas ini supaya kontroversi sama tidak berulang dan imej negara tidak terus tercalar.