KEMPEN Liga Malaysia musim ini yang bermula lewat dimanfaatkan secara positif oleh Terengganu FC(TFC) untuk memperkemaskan lagi taktikal pasukan dan begitu juga mengambil peluang dan ruang untuk menjana pendapatan bagi memperkukuhkan kewangan pasukan sepanjang musim ini.
Terkini TFC mengambil inisiatif selaku tuan rumah bagi menganjurkan perlawanan persahabatan empat penjuru melibatkan pasukan Kedah Darul Aman FC, Penang FC dan Terengganu FC II itu sendiri untuk menambah minit-minit permainan berkualiti buat setiap pasukan bertanding.
Situasi ini juga menjadi serampang dua mata buat pasukan untuk menambah kantung pasukan dengan menyasarkan jualan tiket sebanyak 5,000 keping bagi setiap aksi perlawanan.
Walaupun menerima pelbagai reaksi dari peminat-peminat yang mempersoalkan jualan tiket bagi perlawanan persahabatan, Ketua Pegawai Eksekutif TFC Mohd Sabri Abas menerimanya setiap kritikan itu secara positif demi hala tuju jangka panjang pasukannya.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Sabri Abas
“Kita menyasarkan jualan tiket pada perlawanan ini khususnya yang melibatkan perlawan-perlawanan tumpuan sebanyak 5,000 keping tiket terjual.
“Kita melihat secara positif untuk menggalak penyokong-penyokong di laman sendiri untuk hadir ke stadium di mana seperti mana maklumbalas oleh penyokong yang diterima pada awal musim yang amat dahagakan menyaksikan aksi persembahan pasukan di laman sendiri.
“Mungkin ada di antara penyokong ini tidak dapat hadir sewaktu kami beraksi dalam perlawanan persahabatan di Lembah Klang tempoh hari, jadi kami mengambil inisiatif untuk menjadi penganjur atau tuan rumah bagi perlawanan persahabatan empat penjuru ini.
“Dengan momentum persiapan pasukan TFC dan kehadiran pasukan – pasukan jemputan ini sudah pasti perlawanan persahabatan empat penjuru ini menjanjikan aksi yang terbaik dan berkualiti buat setiap pasukan memandangkan ke semua pasukan ini memerlukan minit-minit permainan sebelum kempen Liga Malaysia bermula.
“Jadi ianya sudah tentu memberi pulangan yang terbaik buat setiap penyokong yang membeli tiket walaupun ianya berstatus perlawanan persahabatan.” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC Mohd Sabri Abas kepada FLASH SUKAN.

TFC tidak mengenakan sebarang bayaran kepada kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun bagi setiap perlawanan di kedua-dua stadium untuka aksi pramusim.
Jelasnya lagi, keputusan untuk meletakkan sesuatu harga bagi setiap tiket telah mengambil kira semua faktor khususnya buat penyokong negeri ini dari pelbagai taraf sosio ekonomi. Malah buat TFC sendiri selaku penganjur turut menanggung beberapa kos penganjuran selaku tuan rumah sebagai usaha menambah kualiti perlawanan yang dituntut oleh setiap pasukan.
TFC juga memberi pilihan tambah nilai yang terbaik buat penyokong di mana menawarkan pakej jualan tiket pada harga serendah RM30 sekali gus untuk tiga perlawanan berbanding RM15 bagi setiap keping tiket perlawanan. Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun bagi setiap perlawanan di kedua-dua stadium.
Aksi pertama buat TFC bermula pada jam 9 malam ini untuk bertemu Penang FC dan perlawanan tumpuan menentang Kedah Darul Aman FC pada malam 19 April nanti di mana ke semua perlawanan melibatkan pasukan TFC berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Manakala perlawanan melibatkan pasukan Terengganu FC II dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.