PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 29 pemain yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Khamis ini 1menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 dan tiga perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Sementara itu, 11 pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia jika terdapat sebarang perubahan pada senarai nama 29 pemain tersebut. 

Pan-gon mengekalkan 20 pemain daripada senarai 25 pemain yang dibawa ke Singapura bagi dua Perlawanan  FAS Tri-Nations Series 2022 bertemu Filipina dan Singapura pada Mac lalu. 

Tiga pemain iaitu Aidil Zafuan Abdul Radzak, Ramadhan Saifullah Usman dan Zhafri Yahya diletakkan dalam senarai bersedia  manakala dua lagi pemain iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Quentin Cheng kini bersama skuad B-23 kebangsaan di Sukan SEA 2021 di Vietnam. 

Sembilan pemain baharu yang dipanggil kali ini ialah Matthew Davies, Afiq Fazail, Ahmad Syihan Hazmi Mohamad, Junior Eldstal, Norshahrul Idlan Talaha, Guilherme De Paula termasuk Syahmi Safari, Darren Lok dan Nazmi Faiz Mansor yang tidak dapat bersama pada kem latihan tersebut. 

Menerusi senarai 40 pemain tersebut, hanya seramai 23 pemain akan didaftarkan dalam senarai akhir bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 manakala baki 17 pemain bersedia sekiranya terdapat sebarang perubahan pada senarai akhir tersebut.