PENYERANG muda negara, Haqimi Azim, meluahkan keyakinannya untuk membantu skuad Harimau Malaya dalam perlawanan penentuan menentang Singapura pada Jumaat ini.

Aksi tersebut dianggap sebagai perlawanan hidup mati bagi memastikan Malaysia layak ke peringkat separuh akhir kejohanan ini.

Biarpun menghadapi sedikit kecederaan di bahagian paha serta masalah kesihatan seperti selesema dan sakit tekak, Haqimi berkongsi bahawa keadaannya kini semakin pulih.

“Betul saya ada masalah kecederaan sikit di bahagian peha dan saya ada selsema, sakit tekak tapi sekarang, Alhamdulillah saya lebih baik daripada semalam,” katanya ketika ditemui di wisma FAM.

Haqimi fokus untuk memberikan yang terbaik dalam aksi menentang Singapura.

Perlawanan terakhir Kumpulan A ini menjadi lebih mendebarkan apabila pasukan Singapura tewas kepada Thailand pada Rabu, membuka peluang kepada Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya jika peroleh kemenangan.

“Kami pemain ada tengok perlawanan semalam agak mencabar juga dan agak berdebar menanti Thailand untuk menang lawan Singapura.

“Jadi, peluang itu terbuka untuk kami dan kami akan buat sebaik-baiknya pada Jumaat ini,” kata Haqimi lagi.

Ketika mengulas mengenai persembahannya menentang Thailand tempoh hari, Haqimi menyatakan usaha mereka adalah hasil kerjasama sepasukan.

“Saya tidaklah cakap begitu berpuas hati, tapi kita orang bergerak sebagai satu pasukan dan kami buat untuk negara.

“Kami dah pun buat sehabis baik menentang Thailand tempoh hari, jadi perlawanan seterusnya ini kami akan buat yang lagi terbaik untuk layakkan diri ke separuh akhir,” tambahnya.

Haqimi berharap agar penyokong Malaysia hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada Harimau Malaya

Perlawanan menentang Singapura ini bukan sahaja penting buat skuad negara, malah ia turut menjadi fokus utama Haqimi sebagai seorang pemain.

Ketika ditanya mengenai keyakinan pasukan dalam melangkah ke separuh akhir, Haqimi tidak menyembunyikan semangatnya untuk berjuang dalam padang.

“Saya harapkan kemenangan menentang Singapura dan saya harap penyokong Malaysia datanglah ke stadium untuk penuhkan stadium serta sokong Harimau Malaya, kita akan buat sehabis baik untuk perlawanan nanti.

“Kami memang bersemangat untuk menang, kami akan buat sehabis baik dan kita akan lakukan juga untuk coach Pau Marti perlawanan nanti,” tambahnya lagi.

Berhadapan dengan tekanan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini, Haqimi percaya ia akan menjadi pendorong buat dirinya untuk terus menunjukkan aksi yang terbaik pada perlawanan nanti.

“Kalau coach letakkan saya sebagai pemain posisi sembilan, saya akan buat sesuatu yang terbaik dan saya akan jaringkan gol menentang Singapura nanti insyaallah.

“Tekanan itu ada, tapi biasalah bola sepak semua ada tekanan, jadi saya kena ambil benda itu sebagai pembakar diri,” jelas Haqimi.

Malaysia perlu mencatat kemenangan untuk mengutip tiga mata penuh dan terus mara ke separuh akhir.

Sokongan padu penyokong di stadium bakal menjadi pembakar semangat skuad Harimau Malaya untuk mencipta kejayaan besar pada Jumaat ini. Sama-sama kita nantikan aksi yang mendebarkan ini.