MALAYSIA berharap perlawanan persahabatan menentang Syria dapat meningkatkan persiapan mereka untuk mengharungi cabaran lebih kuat sebelum menentang Jordan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al-Janoub pada 15 Januari ini.
Pemain pertahanan tengah kebangsaan, Junior Eldstal berkata perlawanan ujian menentang Qasioun Eagles cukup penting sebagai penguat keyakinan sebelum perlawanan pembukaan sukar mereka.
Jordan berada dalam prestasi baik ketika ini selepas menewaskan juara bertahan, Qatar 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Al-Gharafah.
Malaysia pernah berdepan Syria sebelum ini apabila seri 2-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Bola Sepak Universiti Chengdu pada 6 September tahun lepas.
“Ia adalah ujian. Syria adalah lawan yang sukar. Kami pernah menentang mereka sebelum ini di Chengdu, mengikat mereka 2-2.
“Tahap mereka sama dengan Jordan. Ia akan menjadi pemanasan yang baik sebelum perlawanan pertama,” kata pemain kacukan Sweden – Malaysia berusia 32 tahun itu.
Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Jan) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu bekas juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.