RADIO Televisyen Malaysia (RTM) sah akan menayangkan semua perlawanan melibatkan pasukan Harimau Malaya dan perlawanan akhir Piala Asia AFC 2023 yang berlangsung di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.
Keputusan ini sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peminat bola sepak di negara ini untuk menonton aksi Harimau Malaya selain menikmati kemeriahan acara bola sepak terbesar Asia itu.
Perkara ini disahkan menerusi pengumuman oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang media yang dilakukan pada Rabu selain turut diciap oleh laman sosial rasmi RTM.
Yay! Berita baik untuk semua!
RTM akan siarkan perlawanan Piala Asia 2024! 🥳🤩#PialaAsia2024RTM#PialaAsia2024 https://t.co/GImb0h1Tjj
— RTM Malaysia (@RTM_Malaysia) January 3, 2024
“Piala Asia AFC yang akan dimainkan di Qatar bermula 12 Januari, ada beberapa pihak yang bertanya sama ada ianya akan disiarkan dalam RTM, jawapannya adalah ya. Ianya akan disiarkan bermula 12 Januari dan saya telah mendapat pengesahan daripada pihak-pihak berwajib dan ianya akan disiarkan.
“Jangan risau, pihak kerajaan akan pastikan kita dapat tonton perlawanan yang melibatkan bukan hanya Harimau Malaya tetapi juga pasukan-pasukan yang lain dalam Piala Asia ini,” katanya dalam sidang media itu.
ARTIKEL BERKAITAN : RTM hampir pasti siar langsung aksi Harimau Malaya
Sebelum ini banyak pihak yang mempersoalkan sama ada pihak RTM akan menayangkan perlawanan Piala Asia melibatkan Harimau Malaya dan kini semua pihak boleh berlapang dada menerima keputusan ini.
RTM juga mengesahkan rangkuman harian aksi Piala Asia turut ditayangkan yang meliputi sorotan perlawanan-perlawanan lain yang turut berlangsung.
Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrian serta Jordan dan akan memulakan aksi pada 15 Januari bertemu Jordan sebelum bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum mengakhiri peringkat kumpulan bertemu Korea Selatan pada 25 Januari.