BERITA pemergian pertahanan kanan pasukan Petaling Jaya City (PJ City) FC, Rajes Perumal masih diratapi seluruh peminat bola sepak tanah air.
Insiden pilu tersebut turut menjentik hati bekas pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe yang membimbing pasukan utara tanah air itu pada 2015 sewaktu Rajes bersama Sang Kenari
Dengan nada sebak, Tan Cheng Hoe mengakui kehilangan Rajes merupakan suatu kehilangan besar dalam bola sepak negara.
Jelasnya, dia cukup tersentuh dengan pemergian bek kanan PJ City FC itu kerana keperibadiannya yang sangat positif dalam dan luar padang.
Menurut Cheng Hoe, Rajes merupakan seorang pemain yang sangat berdisiplin dan sentiasa beri kerjasama baik kepada jurulatih.

Rajes antara tonggak utama yang membantu skuad Hijau Kuning memenangi Liga Premier 2015.
“Rajes bersama-sama dengan saya di Kedah pada tahun 2015. Pemergian Rajes memang sungguh menyedihkan. Dia adalah seorang pemain yang berdisiplin tinggi dan memberi kerjasama terbaik kepada mana-mana jurulatih. Kita harap keluarganya boleh terima.
“Satu pemain yang cukup berdisiplin dari dalam dan luar padang. Dia cukup mesra dengan rakan sepasukan dan semua pegawai.
“Atas kejujurannya, dia masih lagi beraksi bersama pasukan PJ City FC dan ia merupakan satu kerugian besar untuk bola sepak Malaysia.
“Memang sumbangan dia kepada bola sepak bukan sahaja PJ City FC atau Kedah memang cukup besar, kita doakan yang terbaik buat dia,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.