PEMAIN tengah Kuala Lumpur City (KL City) FC, Kenny Pallraj mengakui harus berusaha keras bagi mengisi slot kesebelasan utama dalam pasukan KL City FC menjelang aksi liga yang dijadualkan bermula Februari 2023.

Namun, dia nyata gembira dengan kehadiran beberapa pemain import baharu seperti Herlison Caion dan Tchetche Kipre yang diyakini memiliki kualiti dan penyudah sebagai seorang penyerang prolifik terbaik The City Boys.

“Ya, memang sukar untuk mendapat tempat dalam pasukan tetapi persaingan harus sihat. Apabila persaingan sihat, ia adalah perkara yang baik dan boleh perbaiki mana-mana kesilapan.

“Saya gembira sebab kita perlukan penyerang yang boleh menjaringkan gol dan yang boleh memberi bantuan kepada pasukan.

“Seperti yang kita tahu musim lepas, dia telah jaringkan 24 atau 25 gol. Saya harap dia boleh lakukan lebih dengan Kuala Lumpur City FC, kita akan beri sokongan kepadanya,” ujarnya ketika ditemui di Siri Jelajah Piala FA Emirates di I-City, Shah Alam.

Kenny yang memulakan karier profesionalnya dengan Harimau Muda B pada 2015 telah berjaya membuat 21 penampilan di Liga Singapura.

Dia kemudian meneruskan perjalanan bersama Perak pada 2016 sebelum berhijrah ke KL City FC pada 2021 dan kekal bersama The City Boys sehingga hari ini.

Musim lalu, Kenny gagal mendapat tempat secara kerap dalam kesebelasan utama kerana dihimpit masalah kecederaan.