
Rauf Salifu dedah punca pilih Selangor FC

PENYERANG import baharu Selangor FC, Rauf Salifu memilih Selangor FC sebagai destinasi kalendar liga musim 2023 disebabkan pengikut Gergasi Merah yang begitu ramai.
“Saya lihat Selangor FC mempunyai penyokong yang sangat ramai, ia menjadi antara sebab saya memilih ke sini.
“Untuk itu, saya akan berusaha untuk buat mereka bangga dengan kelab ini dan tidak mengecewakan mereka,” luah Salifu.
Mengulas lanjut, dia tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia kerana hampir sama dengan perubahan iklim di Ghana.
“Ini merupakan kali pertama saya berada di Asia. Cuaca di Malaysia lebih kurang di Ghana, jadi saya yakin ini membantu saya untuk cepat menyesuaikan diri di sini,” jelasnya.
Berasal dari Accra, Ghana, pemain ini merupakan pemain pasukan utama kelab tempat kelahirannya, Accra Lions FC sejak dari tahun 2018 sehingga 2021.
Penyerang muda tersebut berjaya mencipta pencapaian yang luar biasa pada musim 2020-2021 dengan menjaringkan 21 daripada 58 gol pasukan Accra Lions FC dalam 28 perlawanan sekali gus membantu pasukannya layak ke Liga Perdana Ghana (liga utama) dari liga divisyen kedua negara tersebut.
Statistik cemerlangnya tersebut telah membuka jalan kepadanya untuk beraksi di Amerika Syarikat pada musim 2022 bersama Sporting Kansas City II, pasukan pembangunan Sporting Kansas City yang beraksi di Liga MLS NEXT Pro.
Menurut laman rasmi MLS NEXT Pro, pada bulan Julai, Salifu berjaya menempah namanya sebagai pemain pertama dalam sejarah liga tersebut yang menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.
Untuk rekod, Salifu merupakan pemain terbaru kelima yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Ruventhiran, Khuzaimi Piee, Faisal Halim dan Noor Al-Rawabdeh sebelum ini.