PERSEKUTUAN Sepaktakraw Asia (Astaf) mengesahkan 22 pingat emas ditawarkan dalam acara berkenaan pada temasya Sukan Sea Kemboja 2023.

Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkongsi perkembangan berkenaan selepas badan induk benua Asia itu mengadakan mesyuarat bersama Jawatankuasa Penganjuran Sukan Sea di Phnom Penh.

“Satu sejarah dalam sepak takraw di Sukan Sea kali ini apabila acara chinlone mendapat kelulusan untuk dipertandingkan daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Kemboja selepas mengadakan mesyuarat di Phnom Penh Selasa lalu,” kata Abdul Halim dalam satu kenyataan.

Kali pertama Chinlone dipertandingkan di Sukan Sea pada tahun 2013, di Napidaw.

Tambah beliau, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA diwakili oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Kemboja dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA Kemboja Vath Chamroeun, manakala beliau sendiri mewakili Astaf.

“Mesyuarat tiga jam di Ibu Pejabat NOC Kemboja itu turut dihadiri Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat, yang turut menyaksikan buku panduan Teknikal Sepaktakraw dan Chinlone untuk Sukan Sea 2023 diluluskan oleh Astaf sejurus selepas mesyuarat itu.

“Setiap negara yang mengambil bahagian hanya boleh menyertai maksimum tiga acara lelaki dan dua acara wanita, namun hanya dibenarkan satu pasukan sahaja bagi setiap acara. Negara tuan rumah dibenarkan memasuki semua acara.

“Pasukan lelaki dibenarkan maksimum menyenaraikan seorang pegawai, dua jurulatih, 12 pemain, manakala pasukan wanita membabitkan maksimum seorang pegawai, dua jurulatih dan sembilan pemain,” katanya.

Chinlone akan diletakkan di bawah sepak takraw pada Temasya Sukan Sea Kemboja 2023, menawarkan 12 emas, menjadikan keseluruhan sepak tarkaw 22 pingat emas.

Menurut Abdul Halim lagi, setiap pasukan yang mewakili NOC masing-masing dalam acara sepaktakraw diwajibkan membawa seorang pengadil Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) atau seorang pengadil Astaf.

Tambahnya, dalam saingan chinlone pula, setiap negara yang mengambil bahagian hanya boleh menyertai maksimum tiga acara lelaki, dua wanita dan dua campuran.

Agihan tawaran pingat acara Sepak Takraw dan Chinlone di Sukan Sea Kemboja 2023.

“Ketiga-tiga pasukan lelaki, wanita dan campuran hanya boleh menyenaraikan maksimum dua jurulatih dan 12 pemain termasuk dua simpanan. Dua pemain simpanan bagi acara campuran membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita. Setiap pasukan sekurang-kurangnya perlu mempunyai enam pemain untuk memulakan perlawanan jika kurang daripada itu penyertaan akan dibatalkan,” katanya.

Mengikut pecahan pingat, acara sepak takraw membabitkan kategori Regu Berpasukan (Lelaki), Hoop (Wanita, Lelaki), Regu (Lelaki), Kuadran (Wanita, Lelaki), Doubles (Wanita, Lelaki), Doubles Berpasukan (Wanita, Lelaki) iaitu 10 emas secara keseluruhan.

Selain Myanmar, Thailand juga mampu mencabar perolehan emas dana Chinlone.

Manakala Chinlone pula membabitkan acara Non-Repetition Primary (Wanita, Lelaki, Campuran), Same Stroke (Wanita, Lelaki, Campuran), Linking (Wanita, Lelaki, Campuran) dan Non Repetition Secondary (Wanita, Lelaki, Campuran) dengan menawarkan 12 pingat emas.

Saingan sepak takraw akan bermula dari 6 hingga 16 Mei di Phnom Penh, Kemboja.

Difahamkan, wakil Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) turut menghadiri mesyuarat terbabit, namun adakah pertambahan pingat yang banyak ini bakal memberi kelebihan kepada skuad sepak takraw negara?