WAJAHNYA polos, namun bila di atas litar, kelibat Rayyan Wafiy Anis atau lebih mesra dipanggil Ryan, berubah sekelip mata penuh fokus, garang, dan bertenaga.

Meskipun baru berusia 12 tahun, anak muda ini sudah mula mencuri perhatian dalam dunia perlumbaan go-kart, menyimpan impian untuk satu hari nanti bergelar juara dunia seperti idolanya, Max Verstappen.

Rayyan Wafiy Anis 

Rayyan kini berlumba di INF1NIT Y IAME Series Asia 2025.

“Saya suka rasa adrenalin bila memandu. Kalau ada orang potong, saya mesti nak potong balik. Bila jurulatih cakap saya perlahan, saya akan cuba buktikan yang dia salah dengan memperbaiki masa dan kedudukan setiap pusingan,” kata Ryan kepada Flash Sukan.

Ryan mula mengenali dunia go-kart pada usia sembilan tahun, dan menurutnya, pengalaman pertama di belakang stereng kenderaan mini itu sangat mendebarkan namun menyeronokkan: “Rasa macam tekanan kuat, tapi best. Sekarang saya dah ketagih dengan perasaan tu.”

Rayyan bersedia sebelum perlumbaan go-kart.

Rayyan bersama ayahnya Anis Mohd Nasir.

Dia juga mengakui pernah terlibat dalam kemalangan sewaktu perlumbaan, namun tidak gentar.“Saya tak takut, cuma marah… sebab yang langgar saya tu rakan sepasukan sendiri.”

Dalam dunia karting, Ryan mengagumi Conrad Garrow – pelumba cilik yang disifatkannya sebagai ‘garang tanpa belas kasihan: “Dia sangat laju, penuh kemahiran dan tak pernah main-main di atas trek. Itu yang buat saya nak jadi macam dia.”

Rayyan menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik, tidak kira sama ada di Asia atau Eropah.

Namun walaupun cekap di litar, Ryan mengakui dia masih belum tahu menunggang basikal. “Basikal ada dua tayar, saya tak pandai imbang. Tapi go-kart ada empat tayar, tak perlu seimbang, terus boleh pandu,” katanya sambil ketawa kecil.

Ryan yang kini berlumba di INF1NIT Y IAME Series Asia 2025, menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik, tidak kira sama ada di Asia atau Eropah, dalam siri seperti Rok atau Rotax.