KEMENANGAN demi kemenangan yang diraih Hakim Danish Ramli dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 bukan sahaja menambah koleksi kejayaan peribadi, malah turut mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa – dan semua ini turut didorong oleh sokongan padu dari penajanya, RCB.
RCB atau Racing Boy, selaku penaja peribadi kepada pelumba muda sensasi itu, menzahirkan rasa bangga terhadap prestasi cemerlang Hakim Danish yang kini mendahului carta keseluruhan kejuaraan. Dengan kehadiran pelumba kelahiran Malaysia itu ke ibu pejabat RCB baru-baru ini, jelas tergambar hubungan kukuh antara pelumba dan penaja yang saling percaya serta menyokong antara satu sama lain.

Hakim Danish yang kini mendahului carta keseluruhan kejuaraan.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran RCB, Marcus Leong, Hakim bukan sahaja membawa nama syarikat ke pentas dunia, malah menjadi lambang dedikasi dan inspirasi buat generasi pelumba akan datang. “Kami di RCB amat menghargai kesungguhan dan semangat juang Hakim Danish. Kami akan terus beri sokongan penuh, termasuk dari aspek teknikal, logistik dan promosi,” katanya.
RCB juga melihat kerjasama ini lebih daripada sekadar tajaan. Ia adalah misi bersama membentuk pelumba yang berdisiplin, bertanggungjawab serta mampu menjadi ikon kepada anak muda yang meminati sukan permotoran. “Kami percaya mereka mampu jadi contoh teladan, bukan sahaja dalam trek, tetapi juga dari sudut nilai positif dan keselamatan ketika menunggang,” tambah Marcus.

Kepulangan sementara Hakim Danish ke tanah air juga bakal membawa makna besar kepada komuniti permotoran tempatan, terutamanya menjelang perlumbaan FIM MiniGP dan RCB MiniMoto di Litar Horizon Beranang hujung minggu ini. Kehadirannya dijangka menyuntik semangat luar biasa kepada para pelumba muda yang sedang memulakan langkah mereka.

Usaha RCB dalam menyokong pembangunan akar umbi sukan permotoran bukan perkara baharu. Malah, syarikat itu berazam untuk terus menyediakan platform buat bakat-bakat muda menyerlahkan potensi ke peringkat lebih tinggi. Pendekatan sistematik yang diterapkan dalam program seperti RCB MiniMoto dilihat mampu menjadi batu loncatan kepada pentas dunia seperti MotoGP.
Hakim Danish kini bukan sahaja harapan negara, malah menjadi wajah baharu generasi pelumba profesional Malaysia. Dan dengan semangat yang berkobar serta sokongan yang tidak putus dari RCB, masa depannya dilihat cerah untuk terus bersinar dalam dunia perlumbaan motosikal antarabangsa.