“JIKA sejarah menuntut, Carlo Ancelotti tahu bila masa yang tepat untuk bangkit.” Itu keyakinan yang diluahkan bekas bintang Perancis, Raphael Varane menjelang era baharu skuad Brazil di bawah kendalian jurulatih berpengalaman dari Itali itu.
Selepas diumumkan sebagai pengendali asing tetap pertama dalam sejarah bola sepak Brazil minggu lalu, Ancelotti dijadualkan memulakan tugas rasmi pada 26 Mei ini dan akan memimpin skuad Selecao sehingga Piala Dunia 2026. Tugas getir menanti beliau apabila kempen kelayakan Amerika Selatan bersambung Jun depan, dan Brazil kini berada di tangga keempat – jauh ditinggalkan Argentina.
Bagi Varane, yang pernah beraksi di bawah kendalian Ancelotti selama dua musim di Real Madrid, tiada siapa yang lebih layak untuk memulihkan maruah Brazil di pentas dunia. Mereka pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA bersama pada 2014, dan bekas pertahanan itu cukup mengenali kemampuan taktikal serta kepimpinan Ancelotti dalam mengurus pasukan bertaraf bintang.
“Carlo bukan sahaja seorang jurulatih berpengalaman, malah dia tahu bila dan bagaimana untuk mempersiapkan pasukan menghadapi perlawanan besar. Di pentas antarabangsa, kamu hanya ada satu peluang. Dan Carlo tidak akan sia-siakan peluang itu,” kata Varane dalam temu bual bersama Reuters di Hong Kong.
Mengurus pasukan kebangsaan, menurut Varane, adalah tugas yang sangat berbeza berbanding kelab. Waktu persiapan terhad, tekanan tinggi, dan keputusan mesti segera. Namun, beliau percaya Ancelotti sudah terbiasa dengan tekanan itu – apatah lagi dengan reputasi lima kejuaraan UCL di bawah namanya.
Brazil kini berdepan tekanan besar selepas prestasi tidak konsisten sejak edisi terakhir Piala Dunia. Namun bagi Varane, kualiti pemain Brazil bukan isu, sebaliknya yang diperlukan ialah pengurus yang mampu mewujudkan keyakinan dan kestabilan dalam pasukan – sesuatu yang sering menjadi kekuatan Ancelotti.
“Apabila kamu bercakap tentang Brazil, kamu bercakap tentang sejarah, tekanan dan harapan yang besar. Saya yakin Carlo mampu berikan semua itu – bukan sekadar strategi, tetapi sentuhan yang membuatkan pemain yakin dan bersedia untuk berjuang,” tambah Varane lagi.
Dengan kejohanan Piala Dunia 2026 bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, tekanan untuk Brazil menebus kekecewaan semakin memuncak. Namun, dengan Ancelotti di kemudi, Varane percaya sejarah bola sepak dunia bakal menyaksikan kebangkitan semula Selecao dalam versi paling tenang dan taktikal.