PERCUBAAN skuad sepak takraw negara menamatkan penguasaan Thailand di Sukan Asia ke-19, dalam acara regu berpasukan tidak berjaya, selepas akur tewas 0-2 kepada kuasa besar itu.

Justeru, penantian selama 25 tahun diteruskan empat tahun lagi, namun peluang meraih pingat emas masih ada sebaik acara regu bermula, 3 Oktober ini.

Kecemerlangan Thailand selaku gergasi dunia begitu ketara di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua yang terletak kira-kira 170 kilometer (km) dari Hangzhou, sekali gus meraih pingat emas buat kali ketujuh berturut-turut sejak edisi 1998 di Bangkok.

Regu pertama negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam mencuba yang terbaik menyaingi regu Thailand, Pichett Pansan, Wichan Temkort, Sittipong Khamchan , apabila tewas 15-21, 14-21.

Skuad negara dibimbing Ahmad Jais Baharun, terpaksa berpuas hati dengan perak untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Thailand mempertaruh pemain berpengalaman meraih mata pertama menerusi kombinasi Pichet Pansan, Wichan Temkort dan Sittipong Khamchan yang tiada masalah mengatasi regu negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Farhan Adam dan Muhammad Haziq Hairul Nizam 21-15, 21-14.

Regu kedua negara dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang diharap menghadiahkan mata, mengheret perlawanan ke aksi penentuan bagaimanapun tidak menjadi kenyataan apabila tunduk kepada lawan dalam perlawanan menghiburkan.

Muhammad Zaim Razali yang dibawa masuk menggantikan Mohammad Syahir Mohd Rosdi pada set kedua, beraksi dengan baik dalam regu kedua, bersama-sama Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir.

Menariknya, penonton tempatan memberikan sokongan dan melaungkan nama Malaysia, ketika perlawanan berlangsung.

Azlan, Amirul dan Syahir berusaha untuk menyaingi kehebatan gandingan Varayut Jantarasena, Pattarapong Yupadee dan Siriwat Sakha, namun terpaksa akur dengan kehebatan lawan selepas tewas 13-21, 18-21.

Pingat gangsa acara itu dimenangi bersama Korea Selatan dan Laos selepas masing-masing terkandas di pusingan separuh akhir.

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi emas regu berpasukan lelaki ketika ia dipertandingkan buat kali pertama pada edisi 1990 di Beijing, China.