PERTEMBUNGAN Jepun dan Croatia di pusingan 16 antara perlawanan dinanti-nantikan peminat bola sepak seluruh dunia.

Pemenang akan menentang keputusan aksi perlawanan Brazil dan Korea Selatan yang bermula kurang tiga jam selepas sepak mula di Stadium Al Janoub, Al Wakrah.

Sambil merendah diri, Croatia memberi penghormatan tertinggi kepada Samurai Biru.

Jepun mara ke pusingan 16 Piala Dunia 2022 dengan mengungguli Kumpulan E. Sementara itu, Croatia mendapat naib juara Kumpulan F.

Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic mengakui telah memberi amaran kepada pasukannya supaya menghormati setiap lawan pada Piala Dunia 2022 terutama Jepun, yang telah menutup mulut dua juara Piala Dunia iaitu Jerman dan Sepanyol.

“Mereka menewaskan dua pemenang Piala Dunia – Sepanyol dan Jerman. Mereka tewas pada aksi pertama tetapi mereka menunjukkan mentaliti, kekuatan mental, konsisten dan apa yang saya pesan kepada pemain saya jangan sekali-kali memandang rendah sesiapa, hormati lawan anda,” jelasnya kepada Al Jazeera.

Secara tersirat, Zlatko Dalic berkata bahawa Jepun adalah lawan yang sukar dan tidak dilabel kuda hitam. Dalic tahu betul betapa bahayanya Jepun.

“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini untuk kami. Kami tahu apa lawan dan siapa lawan. Kami tahu mentaliti mereka. Jika kami mahu pergi lebih jauh, kami perlu meletakkan standard yang tinggi, melakukan yang terbaik dan tidak pernah memandang rendah sesiapa,” katanya.