PEMAIN Bawah 23 tahun (B-23) selesa di bawah kendalian jurulatih E Elavarasan yang menekankan taktikal ‘forward play’.

Menyedari mereka perlu cepat mengadaptaasi corak yang dibawa Elavarasan untuk kekal dalam skuad, pemain mengakui banyak faktor memotivasikan mereka.

Faktor pemain muda Muhammad Hakimi Abdullah yang sudah berada dalam skuad senior ketika ini, pasti menjadi tonik penggerak pemain muda negara untuk melakukan pencapaian sama, menyertai skuad senior bimbingan Kim Pan-gon.

Bagi Mohd Aiman Afif Afizul, 21, setiap pemain mempunyai impian mewakili skuad senior kebangsaan.

Mohd Aiman Afif Afizul harap kehadiran dalam kem B-23, membolehkannya lebih kerap beraksi bersama Kedah.

“Bagi saya Hakimi contoh untuk kami sebagai pemain, sentiasa berusaha keras dan umur hanya satu angka, kami perlu sentiasa bersedia.

“Cepat atau lambat dipanggil sertai skuad kebangsaan bukan satu keutamaan sangat tapi kami perlu berikan 100 peratus dan usaha gigih,” kata Aiman.

Dalam masa sama, Aiman berharap dengan pembabitannya dalam skuad B-23, membuatkan jurulatih baru Kedah, Nafuzi Zain menyedari kehadirannya dalam skuad Hijau Kuning itu.

“Saya belum pernah berkerja bersama Nafuzi, ya betul dia gemar menggunakan khidmat pemain muda, tapi saya tetap perlu tunjukkan komitmen seratus peratus.

“Paling penting, kehadiran Nafuzi ini diharap kami boleh menang piala,” kata Aiman.

Zikri mahu daptkan lebih banbyak minit permainan bersama Selangor, musim depan.

Sementara bagi Ahmad Zikri Mohd Khalili, dianggil menyertai latihan bersama Elavarasan adalah peluang buatnya menunjukkan kemampuan kepada jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe.

“Saya harap saya layak untuk berada dalam kesebelasan dengan Selangor kerana minit permainan amat penting kepada setiap pemain, kerana kami memang mengejar minit permainan,” katanya.

Mengulas mengenai corak latihan bersama Elavarasan, dia gembira dengan corak menyerang diterapkan jurulatih itu, namun skuad B-23 perlu berkerja keras mencari persefahaman.