MENGECEWAKAN. Perkataan paling sesuai digunakan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas beregu lelaki dan beregu campuran negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada Jelajah Dunia Akhir 2023, di Hangzhou, China.
Jelas Rexy, perlawanan pertama amat penting bagi menentukan perjalanan ke separuh akhir tetapi dua gandingan itu gagal menggunakan kesempatan dan tewas perlawanan pertama kepada lawan masing-masing.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky anggap prestasi hambar Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada perlawanan pertama, menjejas peluang mara lebih jauh di Jelajah Dunia Akhir, di Hangzhou, China.
Menurut Rexy, prestasi Aaron-Wooi Yik mempamerkan corak permainan yang perlahan sehingga menjejaskan prestasi mereka dan memberi ruang kepada lawan untuk terus mengutip mata dan mencatat kemenangan.
Sementara Tang Jie-Ee Wei pula bermain tanpa ada kerjasama jitu apabila kedua-duanya ingin melakukan sesuatu mengikut pilihan sendiri.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, hampir ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir, namun tewas kepada gandingan Thailand.
“Ee Wei ada cara berfikir sendiri, Tang Jie ada cara berfikir sendiri, jadi mereka main bukan sebagai beregu, tetapi ini saya lebih kritikal perlawanan pertama mereka.
“Kalau perlawanan kedua dan ketiga, prestasi mereka sangat baik kecuali semalam mereka sangat sayang sekali tak ambil peluang kerana set ketiga itu yang paling nampak Ee Wei tiada stamina dan Tang Jie tidak tahu nak main apa,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM).