MUJUR tiba awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2,  petang tadi, sempat untuk meminta pemandu bas berpatah balik ke lapangan terbang itu, selepas seorang pemain Piala Thomas negara, tertinggal beg yang menyimpan dokumen penting termasuk pasport dan visa ke China.

Situasi kelam-kabut itu diketahui media selepas melihat Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, sibuk membuat panggilan telefon yang rupa-rupanya, cuba mendapatkan nombor pemandu bas untuk meminta kembali ke KLIA selepas menurunkan pemain ABM.

Pemain utama terbabit bagaimanpun sempat mendapatkan dokumen penting sebelum daftar masuk untuk menaiki penerbangan Air Asia.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky sibuk membuat panggilan sebaik diberitahu pemain utama Piala Thomas, yang tertinggal pasport dan visa dalam bas yang menghantar pemain ke KLIA 2.

Sementara itu, Rexy berkata, pasukan Piala Thomas negara berada dalam mood terbaik untuk memulakan kempen merampas semula piala berprestij, Piala Thomas yang akan bermula Sabtu ini di Chengdu, China.

Beliau mengakui, pelbagai insiden berlaku sebelum dalam perjalanan ke KLIA 2, bermula dengan masalah teknikal apabila pendingin hawa bas yang membawa barisan pemain Piala Thomas dan Uber ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, tidak berfungsi, sehinggalah pasport salah seorang pemain negara tertinggal di dalam bas.

Begitupun, perkara itu menjadi sebahagian daripada corat-coret perjalanan skuad negara ke China.

Tegas Rexy, beliau mahu pemain melupakan segala kesukaran di sini dan fokus kepada perlawanan mendatang terutama menentang Hong Kong yang dianggap menjadi penentu untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Pemain badminton negara, Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei berbaris untuk daftar masuk pesawat.

“Saya mahu semua pemain beraksi dengan semangat membara. Mereka berada dalam keadaan cukup bersedia selepas menjalani latihan pusat sejak seminggu lalu.

“Seperti saya cakap sebelum ini, mood pasukan berada dalam keadaan baik dan kalau kita lihat, semuanya positif. Semua pemain menjalani latihan serta melakukan aktiviti seperti sarapan pagi bersama,” katanya.

Pemain perseorangan lelaki, Cheam June Wei dan Justin Hoh menunggu giliran daftar masuk pesawat.

Kemenangan ke atas Hong Kong, bermakna Malaysia sudah selangkah ke suku akhir memandangkan hanya berdepan Algeria untuk perlawanan kedua sebelum membuat perhitungan menentang Denmark bagi aksi terakhir kumpulan 1 Mei nanti.

Ujar Rexy, pemain diingatkan supaya berhati-hati dengan permainan atau taktik yang akan digunakan Hong Kong terutama dalam acara peseorangan.

Malaysia membariskan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh bagi acara perseorangan selain mempertaruhkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri untuk beregu bagi kempen Piala Thomas 2024.