MANCHESTER City sekali lagi menunjukkan kekuatan mereka di atas padang dalam pertembungan di tempat lawan menentang Newcastle United yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Perlawanan ini turut menyaksikan penampilan cemerlang Rico Lewis, pemain remaja yang semakin mencuri tumpuan dunia bola sepak.
Lewis, yang baru berusia 19 tahun, menunjukkan kecerdasan dan tenaga luar biasa sepanjang perlawanan, terutamanya di posisi tengah.
Pemain muda ini bukan sahaja berjaya menyesuaikan diri dengan tekanan perlawanan, malah turut menjadi salah satu nadi penting di tengah padang untuk pasukan Pep Guardiola.
Dalam perlawanan ini, City mendahului pada minit ke 35 menerusi jaringan oleh Josko Gvardiol, hasil daripada tendangan sudut yang mengelirukan benteng pertahanan Newcastle.
Namun, Newcastle United berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 58 menerusi gol penalti oleh Anthony Gordon, selepas berlaku kekasaran dalam kotak penalti.
Pep, tidak menyembunyikan rasa kagumnya terhadap persembahan Lewis dalam satu sidang selepas perlawanan diadakan.
“Rico adalah pemain yang sangat bijak kerana dia boleh membaca permainan dengan sangat baik dan tahu apa yang perlu dilakukan di setiap situasi.
“Pada usia 19 tahun, dia masih muda dan akan terus bertambah baik, tetapi hari ini dia bermain dengan sangat bagus,” katanya yang dipetik daripada website rasmi Manchester City.
Pep turut menegaskan bahawa sumbangan Lewis akan menjadi semakin penting pada bulan-bulan mendatang, terutamanya dengan ketiadaan Rodri yang sedang diketepikan akibat kecederaan.
Dengan kekuatan mental dan kecerdasan taktikal yang dimiliki oleh pemain muda seperti Lewis, City pastinya mampu mengharungi cabaran musim ini dengan lebih yakin.
Walaupun keputusan seri ini mungkin tidak memuaskan bagi City, namun mereka tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi dan pemain seperti Rico Lewis terus memberi harapan besar untuk masa depan pasukan ini.
Manchester City akan kembali beraksi dalam Liga Juara-juara menentang Bratislava dengan harapan untuk kembali ke landasan kemenangan.