PENYERANG sensasi Vietnam, Nguyen Xuan Son, dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya lapan bulan untuk pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan serius ketika aksi final Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 menentang Thailand, Ahad lalu.
Kecederaan ngeri yang dialami Xuan Son dalam perlawanan itu menyebabkan dia terpaksa dikeluarkan lebih awal.
Menurut hantaran di Instagram Asean Football, doktor mengesahkan bahawa pemain tersebut mengalami patah kaki yang memerlukan rawatan intensif serta tempoh pemulihan yang panjang.
“Pemain Vietnam, Nguyen Xuan Son, telah berjaya menjalani pembedahan berikutan kecederaan serius yang dialaminya dalam perlawanan akhir Kejohanan ASEAN 2024.
“Menurut doktor, tulang kakinya akan mengambil masa dua bulan untuk sembuh selepas pembedahan, diikuti enam bulan lagi untuk proses pemulihan dan latihan.
“Jika semuanya berjalan lancar, Xuan Son dijangka kembali ke peringkat bola sepak tertinggi dalam masa lapan bulan,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Tempoh lapan bulan ini bermakna Xuan Son kemungkinan besar akan terlepas dua perlawanan pertama kelayakan Piala Asia AFC 2027 menentang Nepal dan Malaysia.
Meskipun insiden itu membawa kesedihan kepada peminat, ia tidak menghilangkan kehebatan dan sumbangan besar Xuan Son sepanjang kejohanan ini.
Tambahan, Nguyen Xuan Son telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan selain penjaring terbanyak dengan tujuh gol, menjadikannya pemain tonggak utama skuad Vietnam.
Peminat Vietnam kini terus memberikan sokongan penuh, berharap agar Xuan Son kembali lebih kuat dan terus menyinar di pentas bola sepak antarabangsa.