SATU sejarah baharu dalam arena sukan berbasikal negara, tercipta apabila Datuk Amarjit Singh Gill dilantik sebagai Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).
Menewaskan calon dari Indonesia, Raja Sapta Oktohari dalam pemilihan yang berlangsung di Hyatt Regency Bangkok, pada kongres ACC hari ini, Amarjit memperoleh kemenangan dengan keputusan 24 pencalonan berbanding lawannya 17, sekali gus mengulangi pencapaian bapanya, Tan Sri Darshan Singh, yang pernah menyandang jawatan tersebut sebelum ini.
Amarjit, yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan besar dan bukti keyakinan perwakilan terhadap kepimpinannya.

Delegasi Malaysia pada Kongres ACC 2025 di Bangkok.
“Saya sangat terharu dengan amanah yang diberikan oleh semua perwakilan yang memilih saya sebagai presiden baharu ACC. Ia satu penghormatan besar, lebih-lebih lagi kerana ibu pejabat ACC akan kembali ke Malaysia,” katanya, ketika dihubungi di Bangkok.
Jawatan Presiden ACC bertukar tangan selepas penyandang sebelumnya, Osama Ahmed Abdullah Al Shafar dari UAE, tidak bertanding selepas dua penggal memegang jawatan tersebut.
Sebagai rekod, Amarjit sebelum ini hampir meraih jawatan tersebut dalam pemilihan terdahulu apabila seri dengan Osama sebelum tewas menerusi lambungan syiling.
Dengan mandat baharu ini, Amarjit menegaskan bahawa beliau membawa agenda besar untuk ACC, termasuk meneruskan pembangunan sukan berbasikal di Asia melalui inisiatif Agenda OneAsia.

Datuk Amarjit Singh menerima ucapan tahniah daripada Presiden UCI yang juga ahli IOC, David Lappartient selepas terpilih sebagai Presiden ACC baharu.
“Saya menerima tanggungjawab ini dengan penuh rendah diri dan saya sedia maklum harapan besar yang diletakkan kepada saya. Saya berjanji untuk tidak menghampakan negara-negara Asia dan akan bekerja keras bagi merealisasikan Agenda OneAsia,” tambahnya.
Presiden UCI, David Lappartient, yang juga Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), telah menyatakan sokongan penuh UCI terhadap kepimpinan Amarjit dan komitmen ACC dalam memperkasakan sukan berbasikal di rantau Asia.
Pelantikan ini bukan sahaja menandakan satu lagi kejayaan besar bagi Malaysia dalam pentas antarabangsa, tetapi juga menjanjikan era baharu dalam pembangunan dan hala tuju sukan berbasikal di Asia.