PADANG Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dijamin dapat diserahkan tepat pada masanya, dan mengikut jadual yang dirancang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi berkata, penanaman rumput akan dimulakan kira—kira seminggu lagi iaitu pada 1 Ogos depan.

“Rumput akan masuk pada 1 Ogos bagi tujuan penanaman dan pada penghujung September, pihak kontraktor dilantik akan menyerahkan padang ini.

“Di nurseri kita, keadaan rumput sudah 50 peratus sedia,” kata Mohd Faidz, ditemui pada majlis ulang tahun ke-25, Kuala Lumpur Sports City (KLSC).

Tambahnya, penganjuran konsert antarabangsa, kumpulan rock Muse hujung minggu ini, tidak menjejaskan jadual penggantian rumput di SNBJ.

“Permukaan padang SNBJ yang dilapisi pasir akan dilindungi menggunakan pitch cover sepanjang konsert berlangsung.

“Ia tidak akan menjejas dan merosakkan rumput kerana rumput belum diletakkakan kerana Cuma sistem saliran sudah selesai pemasangannya.”

Konsert Muse akan berlangsung Sabtu ini (29 Julai) berjudul Will of The People World Tour 2023.

Ujar Mohd Faidz lagi, padang SNBJ dijangka sempat digunakan bagi penganjuran Pestabola Merdeka, Oktober depan.

Pestabola Merdeka kembali dianjurkan selepas 10 tahun menyepi dan saingan kali ini membabitkan pasukan Palestin, India, Lubnan dan Hariamau Malaya.

Sementara itu, Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac berkata, segala kemungkinan boleh berlaku dan pihaknya menyerahkan kepada kontraktor dalam menentukan waktu yang sesuai untuk padang bersedia digunakan.

Penanaman rumput Zeon Zoysia bermula April lalu di nurseri yang terletak bersebelahan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bagi menggantikan Cow Grass sedia ada.

Pertukaran rumput itu dianggarkan menelan belanja hingga RM1.4 juta, ditaja Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Untuk rekod, SNBJ pernah menggunakan rumput jenis Bermuda Greenless Park pada 1998-2005, Marimo Seashore Paspalum bersama Zoysia Material (2005-2-13) dan Bermuda Mountain Green bersama Princess (2013-2015).