ERA baharu sepaktakraw negara bermula apabila Stadium Titiwangsa diisytiharkan sebagai Stadium Sepaktakraw Malaysia dengan julukan ‘Home of Sepaktakraw’, sekali gus mencipta detik bersejarah buat sukan kebangsaan itu.

Pemerhati sukan, Zack Rahim menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai langkah yang sudah lama dinantikan komuniti sepaktakraw tanah air, malah menganggapnya simbol pengiktirafan rasmi terhadap identiti sukan tradisi negara.

Menurutnya, walaupun bola sepak kekal sukan paling popular, sepaktakraw mempunyai nilai sentimental dan sejarah tersendiri yang wajar diberikan kedudukan setanding sukan utama lain.

“Kalau Thailand ada Muay Thai, Jepun ada sumo dan Brazil dengan bola sepak, Malaysia ada sepaktakraw yang namanya sendiri berasal daripada bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berpandangan Malaysia sepatutnya lebih awal memiliki gelanggang khusus untuk sepaktakraw, namun tetap menyambut baik perkembangan itu walaupun kapasiti stadium berkenaan masih terhad untuk status nasional.

Katanya, dengan adanya ‘rumah’ sendiri, sepaktakraw kini berdiri sebaris dengan sukan lain yang memiliki venue tetap seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil, Axiata Arena dan Velodrom Nasional Nilai.

Zack turut memuji kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang disifatkan berjaya membawa nafas baharu termasuk menamatkan penantian panjang menewaskan Thailand di pentas utama.

Namun, beliau mengingatkan cabaran sebenar adalah menjadikan sepaktakraw kembali popular dalam kalangan generasi muda, termasuk melalui inovasi peraturan, variasi kategori serta pendekatan lebih inklusif bagi menarik penyertaan pelbagai kaum.

Apa yang pasti, pengiktirafan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepaktakraw’ bukan sekadar simbolik, tetapi platform penting untuk menyusun pembangunan lebih sistematik demi mengangkat sukan warisan negara ke tahap lebih tinggi.