HANYA Sarawak bersetuju dengan tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia di salah satu stadium di negerinya setakat ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sementara tiga negeri iaitu Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang pula sudah menyatakan pendirian tidak bersetuju menggunakannya kerana mahu menggunakan rumput sedia ada di stadium masing-masing.

Katanya, baki negeri lain pula memohon lanjutan masa bagi mempertimbangkan penggunaan rumput berkenaan kerana mahu melihat kepada kesesuaiannya untuk di tanam di stadium masing-masing.

Rumput jenis Zeon Zoysia digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

“Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perlis, Melaka, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan meminta supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengkaji kesesuaian penanaman rumput Zeon Zoysia di negeri masing-masing.

“Mereka nak tengok dulu hasil (penanaman rumput Zeon Zoysia) di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana ada beberapa faktor yang mereka perlu pertimbangkan seperti naik taraf sistem saliran di stadium dan negeri berkenaan.

“Sekarang, kita akan bermula dengan Sarawak dulu dalam senarai ini,” katanya, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) dan Mesyuarat Pelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Putrajaya.

Hannah berkata, kerajaan negeri Sarawak belum memutuskan stadium mana yang mahu digantikan dengan rumput jenis Zeon Zoysia kerana mahu melihat kesesuaian penanaman rumput jenis berkenaan.

Sarawak bersetuju menggunakan rumput Zeon Zoysia, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan tolak, negeri lain mahu mengkaji kos pengurusan lebih mendalam. -Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. /Pix KBS

“Ada banyak syarat yang perlu kerajaan negeri buat. Itulah sebabnya ada negeri yang memohon penangguhan kerana mereka mahu melihat pemasangan rumput di Bukit Jalil terlebih dahulu.

“Apabila ia siap pada September atau Oktober tahun ini, negeri-negeri berkenaan mahu melihat hasilnya sama ada ia OK atau tidak,” katanya.

KBS sebelum ini menawarkan dana geran padanan kepada semua Exco Belia dan Sukan Negeri bagi menaik taraf padang stadium bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia, yang turut digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.