SABAH FC dikatakan mahu memanggil pulang Stuart Wilkin untuk memperkuatkan pasukan menjelang aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City FC di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad ini.

Pemain posisi tengah yang kini sibuk bersama kem Harimau Malaya dan baru selesai beraksi dalam kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 semalam akui hanya mengikut segala kata putus ditetapkan majikan.

Pun begitu, Wilkin mendedahkan belum mendapat apa-apa perkhabaran semasa berkaitan laporan berkenaan.

“Kami belum mendengar apa-apa lagi. Jadi kita akan lihat apa yang akan berlaku pada hari-hari akan datang. Tetapi untuk diri sendiri, bersedia untuk menjadi pasukan kebangsaan atau Sabah.

“Anda tahu sama ada keputusan itu di tangan pemain. Itu antara kelab dan pasukan kebangsaan. Jadi apa sahaja yang mereka putuskan, saya dan rakan sepasukan saya akan memberikan 100 peratus mengikut cara mana ia pergi, mana-mana pasukan,” katanya selepas perlawanan.

Wilkin siap sedia beraksi untuk kelab dan negara.

Diminta mengulas pertembungan getir dengan skuad Thailand di Bangkok, pemain utama skuad kebangsan itu mengakui kehebatan dimiliki pasukan jiran yang pernah memnenangi sebanyak tujuh kali gelaran.

“Ia akan menjadi permainan yang sangat sukar. Kita tahu bahawa Thailand sangat kuat. Jadi kami akan pergi ke sana. Kami pasti akan melihat video dari hari ini, aspek yang boleh kami perbaiki.

“Sudah tentu, ia adalah pemulihan yang singkat, tetapi kami pasti akan mempunyai rancangan permainan ke sana dan semoga kami boleh mendapat keputusan yang positif,” katanya.

Skuad Harimau Malaya kini berada di puncak kumpulan dengan empat mata selepas dua perlawanan, dan perlawanan menentang Thailand akan menjadi penentu penting untuk kemaraan mereka dalam kejohanan ini.