SADIO Mane berjaya membawa gemilang kepada Liverpool dalam tempoh enam tahunnya bersama kelab itu dan meskipun sudah meninggalkan Anfield, dia masih menunjukkan penghargaan kepada kelab, staf dan para pemainnya.

Keinginan untuk mencari cabaran baharu menyaksikan Mane meninggalkan Anfield untuk Allianz Arena musim ini dimana dia sudah menjaringkan dua gol dalam perlawanan.

Mane meninggalkan Liverpool dengan pesanan dan sokongan yang baik daripada penyokong selepas memberikan segalanya kepada kelab Mersey itu untuk memenangi piala domestik serta di Eropah.

 

Pemain yang merendah diri dan seorang Muslim yang baik, Mane memastikan dia keluar dengan kenangan yang manis dan dia sendiri menunjukkan penghargaan dengan caranya yang tersendiri.

Menurut kepada wartawan akhbar Jerman BILD Christian Falk, bekas pemain nombor 10 itu telah memberikan 150 buah hadiah yang mengandungi coklat dengan gambarnya beserta sekeping kad bertulisan tangan.

Coklat Sadio Mane

Majlis perpisahan terakhir itu membuktikan siapa diri sebenar Mane dan kepulangannya ke kelab itu sentiasa dialu-alukan sama ada sebagai penyokong mahupun sebagai pasukan lawan di Anfield.

“Saya menghabiskan karier selama lapan tahun di England dengan enam tahun yang gemilang di Liverpool dan berjaya memenangi kesemua piala yang dipertandingkan.

“Ianya bukan keputusan yang mudah dalam hidup saya namun kadang kala keputusan perlu dibuat dan setakat ini saya rasakan ianya adalah keputusan terbaik pernah saya lakukan dalam karier,” jelas Mane mengenai keputusan perpindahannya.

Selepas mempamerkan persembahan cemerlang buat kelab dan negaranya, Mane telah disenaraikan dalam senarai pendek 30 pemain untuk Ballon d’Or bersama-sama enam lagi pemain Liverpool iaitu Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Luis Diaz, Darwin Nunez, Fabinho dan Trent Alexander-Arnold.