IMPACT Media and Communication Sdn. Bhd (IMC) mengumumkan telah mencapai persetujuan berkenaan tawaran pembelian dan pemilikan Perak FC Sdn. Bhd (Perak FC) daripada JR Resources and Services Sdn. Bhd. (JR).

Isnin lalu, IMC menyertai perbincangan dengan syarikat tujuan khas tersebut untuk menjual pegangan mereka ke atas Perak FC. Persetujuan itu menyaksikan IMC menjual keseluruhan pegangan mereka pada harga RM1 sesaham, memberikan subaidiari itu nilai keseluruhan berjumlah RM2,500.

Mesyuarat pada hari Isnin lalu dijalankan untuk memeriksa dan mengesahkan semua liabiliti kelab tersebut.

“Perjanjian ini telah berjaya dicapai dengan keinginan yang tinggi daripada kedua-dua belah pihak untuk melihat Perak FC kembali semula mencapai kedudukan kewangan yang stabil dan terus bertanding dalam Liga Premier musim ini.

“Kami memohon maaf kepada semua stakeholder di atas ketidakupayaan kami menyelesaikan liabiliti kelab sewaktu pegangan singkat kami ke atas Perak FC.

“Kami mengharapkan semangat dan penjagaan yang sama akan diteruskan oleh para penyokong bersama pemilik yang baru nanti,” kata kenyataan IMC pada Sabtu.

Proses dokumentasi dijangka akan bermula pada hari Isnin depan dan pengambilalihan dijangka selesai sepenuhnya pada hari berikutnya.