SATU penantian yang cukup bermakna buat bekas penjaga gol Harini FT, Hafizul Hakim yang gembira dapat kembali bersama dengan pasukan Liga Super iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC pada musim ini.

Apa yang membuatkan pemain berusia 31 tahun itu lebih terharu adalah, segala aspek daripada segi tawaran, perjanjian dibuat ketika minit-minit akhir dan dirinya tidak menjangka rezeki itu datang seperti durian runtuh.

Jelasnya, perpindahan dari pasukan Harini FT ke pasukan sensasi Liga Super itu cukup memberi gambaran manis tentang perayaan Aidilfitri tahun ini.

Hafizul sedang menjalani latihan secara rasmi bersama KL City FC.

“Secara jujurnya, saya rasa setiap tahun saya teruja, namun tahun ini mungkin saya rasa lebih teruja dan gembira kerana apa perubahan yang berlaku pada karier saya semua secara tiba-tiba. Saya dapat tawaran last minute, saya datang ke KL City juga last minute.

“Oleh itu, persiapan raya tahun ini juga tidaklah begitu lancar seperti tahun-tahun sebelumnya kerana lebih memberi perhatian kepada pasukan baharu saya.

“Jika betul kami cuti hari raya pertama dan kedua, saya akan balik ke kampung isteri saya dahulu iaitu di Pantai Remis, Perak dan kampung saya di Ipoh.

Hafizul sebelum ini berkhidmat buat pasukan Harini FT di Liga M3.

“Perjalanan saya ke pasukan baharu ini juga mendapat sokongan penuh daripada keluarga saya dan keluarga mertua saya, mereka gembira kerana saya akhirnya dapat kembali beraksi di Liga Super,” ujar Hafizul kepada FLASH SUKAN.

Sebagai rekod, Hafizul dahulunya pernah bermain bersama pasukan Penang FC dan Perak FC di Liga Super serta beberapa pasukan tempatan lain sebelum turun ke Liga M3 bersama Harini FT.

Satu hadiah besar buat bekas penjaga gol kebangsaan tahun 2017 dan 2018 ini kerana berjaya mendapatkan posisi kembali di pasukan Liga Super musim 2024-2025.