BEKAS penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) selepas dua penggal menerajui badan tersebut sejak 2019.

Pengumuman itu dibuat Safee menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di media sosial rasminya, sekali gus menandakan berakhirnya satu era kepimpinan yang penuh semangat dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pemain bola sepak profesional tanah air.

“Hari ini, saya mengumumkan secara rasmi peletakan jawatan saya sebagai Presiden PFAM. Ia telah menjadi perjalanan yang memuaskan bekerja bersama individu-individu yang penuh semangat. Saya akan terus menyokong PFAM dengan cara yang baharu dan teruja untuk melihat apa yang bakal datang,” katanya dalam video tersebut.

Sepanjang kepimpinannya, Safee bersama barisan kepimpinan termasuk Timbalan Presiden Razman Roslan berjaya meletakkan PFAM sebagai antara suara paling lantang dalam memperjuangkan isu tunggakan gaji, perlindungan kontrak serta penambahbaikan struktur profesionalisme pemain di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail turut menzahirkan penghargaan terhadap Safee dengan menyifatkan tempoh perkhidmatannya sebagai satu penghormatan besar dan perjalanan penuh nilai buat organisasi tersebut.

Safee, yang pernah menjulang Piala AFF Suzuki 2010, mula menerajui PFAM pada November 2019 dan diberi mandat semula untuk penggal kedua bermula 2021 hingga 2023. Walaupun kini melepaskan jawatan itu, legasi perjuangannya dalam arena bola sepak profesional kekal signifikan.

Peletakan jawatan ini membuka ruang kepada wajah baharu untuk meneruskan misi PFAM, namun pastinya nama Safee Sali akan terus terpahat sebagai antara pemimpin pemain paling berpengaruh pernah dimiliki bola sepak Malaysia.