PIALA Asia 2023 hanya akan berlangsung kira-kira setahun dari sekarang tetapi kesemua 24 pasukan yang bakal bertanding akan diketahui minggu hadapan selepas selesai kempen kelayakan akhir.

13 pasukan, Jepun, Syria, Qatar, Republik Korea, Australia, Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Republik Rakyat China, Iraq, Oman, Vietnam dan Lubnan telah pun mengesahkan tempat mereka di kejohanan ini selepas berjaya melepasi peringkat kelayakan kedua.

11 lagi pasukan akan layak dalam tempoh seminggu dengan enam pemenang kumpulan bersama lima tempat kedua terbaik akan ke Piala Asia tahun hadapan.

Pada awalnya kejohanan ini bakal dilangsungkan di China, namun terpaksa diubah venue selepas China terpaksa menarik diri sebagai penganjur ekoran situasi Covid-19 di negara itu.

 

Ketika siapa yang akan menjadi tuan rumah kejohanan ini masih belum jelas, tetapi pasukan yang akan melengkapkan kejohanan terbesar Asia ini akan diketahui pada 14 Jun ini.

Mari kita lihat kepada semua kumpulan yang bertanding di pusingan ketiga ini dan menilai siapa yang mempunyai kebarangkalian untuk layak ke pertandingan akhir nanti.

Kumpulan A yang berpusat di Kuwait menemukan Jordan, Kuwait, Nepal dan Indonesia. Di atas kertas, dua pasukan Timur Tengah ini pastinya tidak menghadapi masalah untuk layak manakala skuad muda Indonesia dijangka boleh menjadi pengacau untuk menjadikan kumpulan ini lebih mendebarkan.

Filipina, Palestin, Yemen dan Mongolia telah diundi dalam Kumpulan B yang berpangkalan di Mongolia dengan Filipina dan Palestin dilihat tidak mempunyai masalah untuk menduduki dua tangga teratas tetapi Yemen boleh meranapkan impian mereka dengan Mongolia akan bermain demi maruah di laman sendiri.

 

Kumpulan C yang berkampung di Uzbekistan pula dilihat lebih mudah untuk diramal apabila Uzbekistan dan Thailand jelas sebagai pasukan pilihan. Maldives dan Sri Lanka pasti akan bergelut dan ini pastinya akan memberikan enam mata maksimum kepada dua pasukan pilihan ini.

Tuan rumah Kumpulan D, India pula diramal tidak mempunyai masalah untuk menjuarai kumpulan diikuti Hong Kong di tangga kedua sementara Afghanistan dan Kemboja mungkin mampu melakar keputusan mengejut untuk menidakkan laluan mudah buat dua pasukan pilihan ini.

Malaysia menjadi tuan rumah untuk Kumpulan E yang mana Bahrain dilihat mudah untuk menguasai kumpulan ini. Tempat kedua bakal menjadi rebutan antara Malaysia dan Turkmenistan tetapi kelebihan dilihat menyebelahi Malaysia atas faktor cuaca dan penyokong sendiri yang fanatik dengan Bangladesh juga mampu melakar keputusan mengejutkan.

Kyrgyz Republic yang menjadi venue berpusat untuk Kumpulan F diletakkan sebagai pilihan untuk layak sebagai juara kumpulan. Tempat kedua bakal menjadi rebutan antara Tajikistan dan Singapura sementara Myanmar dijangka akan lebih bergelut kerana isu dalaman yang melanda negara mereka.

Kesemua 24 pasukan mempunyai peluang sama rata untuk layak ke Piala Asia 2023. Tiga perlawanan dalam tujuh hari pastinya menjadi cabaran terbesar buat mereka dan hanya yang terbaik akan berjaya. Selamat maju jaya buat semua pasukan yang bertanding.