PENGENDALI hoki negara, Sarjit Singh mengakui agak sukar untuknya dan barisan kejurulatihan untuk memilih 18 pemain terakhir untuk dibawa ke Piala Sultan Azlan Shah.

Seramai 30 pemain yang terpilih setakat ini merupakan pemain muda, dengan hanya empat pemain sahaja merupakan pemain senior.

“Mereka bersaing secara sihat untuk menjadi sebahagian daripada 30 pemain, sekarang mereka perlu bersaing untuk menjadi sebahagian daripada 18 pemain terakhir.

Pemain hoki negara menjalani latihan pertama selepas cuti Aidilfitiri.

“Mereka (pemain) tahu bukannya senang daripada 30 nak menjadi sebahagian daripada 18 pemain, saya sendiri berasa susah nak pilih mereka nanti.

“Saya cuma berharap pemilihan pemain yang dibuat oleh saya dan barisan kejuralatihan nanti adalah pilihan yang tepat untuk menghadapi kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh nanti,” katanya kepada media semalam.

Ditanya jika tempat pemain senior dalam skuad hoki adalah terjamin, Sarjit berkata mereka masih lagi perlu tunjukkan prestasi yang baik ketika latihan.

“Kita ingin membina pasukan di sekeliling empat (Faizal, Fitri, Hafizuddin dan Marhan) pemain senior ini, mereka boleh membantu pemain-pemain muda ini dengan cara membimbing mereka.

Sarjit memantau sesi latihan pasukan pada Selasa.

“Ini tidak bermaksud kempat-empat pemain ini akan terjamin berada di dalam skuad nanti, mereka masih lagi perlu turun berlatih dan dari situ kita akan menilai mereka,” ujarnya lagi.

Skuad hoki negara bakal turun dalam aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah berdepan Pakistan pada 4 Mei hadapan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.