SASARAN gelaran di Terbuka Jepun dan China bukan beban, sebaliknya menjadi azimat pembakar semangat buat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mahu terus konsisten dalam saingan elit dunia.
Cabaran itu dilemparkan jurulatih ‘Naga Api’, Herry Iman Pierngadi yang mahu melihat sekurang-kurangnya satu gelaran berjaya dibawa pulang dari kejohanan Jelajah Dunia BWF bulan ini, sama ada di Jepun (15-20 Julai) atau China (22-27 Julai).

Aksi final beregu lelaki Malaysia Masters antara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menentang Aaron Chia-Soh Wooi Yik. FOTO|FB Hannah Yeoh
Namun bagi Wei Chong, misi itu bukan tekanan, sebaliknya menjadi motivasi untuk mengekalkan rentak permainan terbaik sepanjang musim.
“Kami tak mahu terlalu fokus kepada keputusan. Yang penting, permainan kami konsisten dan kalau itu berlaku, keputusan akan datang dengan sendiri,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Herry IP membawa aura baharu kepada skuad beregu lelaki negara.
Setakat ini, pasangan muda negara itu sudah meraih dua kejuaraan musim ini, Masters Indonesia dan Masters Malaysia, sekali gus menyaingi pencapaian gandingan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjulang tiga gelaran.
Mengulas lanjut, Wei Chong mengakui kekuatan mental menjadi kunci utama jika mahu terus bersaing dalam kelompok terbaik dunia, terutama memasuki fasa kedua musim yang lebih mencabar.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun mampu menyerap gaya permainan diperkenal Herry IP.
“Memang ada sedikit tekanan, tapi ia tekanan yang bagus. Ia bantu kami terus berkembang dan kekal fokus untuk aksi separuh musim kedua,” katanya yang kini berada di ranking ke-15 dunia bersama Kai Wun.
Dengan keyakinan tinggi dan momentum positif, impian melihat bendera Malaysia berkibar di podium tertinggi kejohanan elit semakin hampir jadi realiti.