KETUA jurulatih Jordan, Jamal Sellami berasa gembira dengan permainan yang ditunjukkan oleh pemainnya sepanjang perlawanan semalam.
Menurutnya, selepas mencatat keputusan seri menentang Kuwait pada aksi pertama, pemain-pemain Jordan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mendapatkan kemenangan.
“Saya berasa sangat gembira dengan pemain-pemain saya, kesemuanya menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi sepanjang perlawanan.
“Walaupun kami turun tanpa pemain bintang kami, Mousa At Tamari ekoran kecederaan, pemain lain masih lagi mampu untuk memberi yang terbaik.
“Kami bermula dengan cemerlang dengan menjaringkan gol awal, namun pasukan lawan (Palestin) berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa yang sangat kritikal. Mujur buat kami kerana dapat menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Beliau menambah dengan kemenangan ini, Jordan sudah kembali ke landasan yang betul dalam misi untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
Dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 semalam, dua gol daripada Yazan Al Naimat dan satu daripada Noor Al Rawabdeh membolehkan Jordan untuk mengutip tiga mata penuh.