PASUKAN Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dijadual berdepan kelab gergasi Arab Saudi, Al-Ahli dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE).
Perlawanan itu disahkan selepas Al-Ahli menewaskan Al-Duhail SC 1-0 dalam aksi pusingan 16 Zon Barat yang berlanjutan sehingga masa tambahan, awal pagi tadi.
Sebelum ini, undian suku akhir ACLE pada 25 Mac lalu telah meletakkan JDT bakal bertemu pemenang antara Al-Ahli dan Al-Duhail, namun perlawanan tersebut ditangguhkan susulan konflik di Asia Barat.
Situasi itu memaksa skuad Harimau Selatan menunggu lebih lama untuk mengetahui lawan sebenar mereka, lebih-lebih lagi ini merupakan kali pertama JDT berjaya melangkah ke peringkat suku akhir saingan elit Asia berkenaan.
Dalam aksi sengit tersebut, Al-Ahli muncul pemenang hasil jaringan tunggal Riyad Mahrez yang menjaringkan sepakan percuma menarik pada minit ke-117.
Gol tersebut memastikan kemenangan buat juara bertahan sekali gus mengesahkan mereka sebagai lawan JDT di peringkat suku akhir.
Perlawanan antara kedua-dua pasukan dijadual berlangsung di King Abdullah Sports City, Jeddah pada 17 April ini.
Aksi tersebut dijangka bermula pada jam 10.45 malam waktu Malaysia, tertakluk kepada sebarang perubahan.