SELEPAS  nakhoda Jerman, Michael Feichtenbeiner ditamatkan tugas sebagai ketua jurulatih Selangor FC, kini segala-galanya tertumpu kepada anak kelahiran Kajang, Selangor bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan DNA Jerman itu.

Jurulatih Interim Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil menyeru semua pihak termasuk penyokong setia pasukan Gergasi Merah untuk terus berada di belakang pasukan itu.

Tambahnya, Selangor FC diibaratkan seperti sebuah kapal yang besar, mempunyai tanggungjawab dan ianya perlu dipikul semua, tidak hanya tertumpu kepada individu tertentu sahaja.

Sedar Gergasi Merah mempunyai sejarah hebat dalam bola sepak tempatan, Nidzam menegaskan ia adalah masa untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan Selangor FC.

Biarpun berdepan tekanan hebat dari penyokong, jurulatih berusia 42 tahun itu menganggap ianya adalah sesuatu yang normal.

Malah, dia sentiasa meletakkan Selangor FC dan penyokong sebagai keutamaan dalam kariernya.

“Saya hendak secara jujur semua orang dalam satu kapal yang besarlah, bukan pemain saja, bukan pengurusan saja, termasuk penyokong.

“Jadi semua ada tugas masing-masing. Saya gembira penyokong terus di belakang kita. Saya minta penyokong terus percaya dengan apa yang kita buat.

“Saya rasa ini tanggungjawab kita untuk memperbetulkan beberapa perkara. Saya tak pernah dilantik di tengah-tengah liga. Selangor sentiasa pertama. Penyokong keutamaan kita.

“Saya bukan genius, saya bukan siapa-siapa. Saya rasa kita dekat Selangor kan. Kita punya buku teks sejarah setebal ini kan. Tetapi kita faham, penyokong ada hak untuk mengharapkan lebih daripada kita.

“Ini adalah tanggungjawab untuk dapatkan pergerakan yang lebih baik selepas ini supaya kita akan dapat sama-sama memenuhi harapan penyokong, pengurusan dan pemain bersama-sama,” ujarnya ditemui FLASH SUKAN  sebelum sesi latihan Selangor FC pada Khamis.

Untuk rekod, Nidzam pernah menyarung jersi Selangor pada tahun 1999-2004 dan merupakan seorang pemain pertahanan yang digeruni lawan.

Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi

Bagaimanapun, nasib tidak begitu menyebelahinya sebagai pemain apabila terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan ekoran kecederaan buku lali dan lututnya.

Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menggantung but sebagai pemain namun meneruskan kariernya dalam bidang kejurulatihan.

Tanggal 22 November 2021, Nidzam kembali ke pangkuan Selangor FC sebagai penolong jurulatih dan kurang dari setahun selepas itu dia kini dilantik sebagai ketua jurulatih sementara Selangor FC menggantikan Michael Feichtenbeiner yang dipecat dari jawatannya ekoran prestasi hambar yang dipersembahkan Gergasi Merah.