PENGENDALI Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh menganggap beliau bukanlah ‘magician’ apabila sentuhannya berjaya menaikkan semula prestij skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super.
Beliau juga memberikan kredit kepada Fandi Ahmad dan kesemua barisan kejurulatihan Sri Pahang yang banyak membantunya menukar haluan kelab ini dengan tiga kemenangan berturut-turut.
Selain itu Dollah juga mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana dapat bermain seperti yang dirancang dan kesemua yang terlibat dalam kelab ini hanya memfokuskan kepada kemenangan sahaja dan bukannya tangga liga.

Fandi (kanan) bersama Dollah.
“Saya tiada magis. Ini semua adalah usaha bersama antara saya, Fandi dan juga dua lagi jurulatih yang bergabung idea dan tenaga untuk memastikan pasukan ini kembali mantap.
“Fandi banyak memberikan idea dan kami juga menerapkan psikologi kepada para pemain. Teguran yang diberikan juga berbeza buat semua pemain. Kami juga melayan pemain sebagai kawan kerana keharmonian pasukan ini perlu ditingkatkan selepas pemain begitu kecewa sebelum ini.
3 goals ✅
3 wins in a row ✅
3 clean sheets ✅
3 points ✅What a team! 🤯#WhereLegendsAreBorn #extrajossmalaysia #hakkaclo #PosMalaysia pic.twitter.com/zd8cdWtjL1
— SRI PAHANG FC (@OfficialPahang) August 9, 2022
“Tahniah kepada semua pemain kerana bermain seperti apa yang dirancang. Sebelum ini dua perlawanan dengan kemenangan namun hanya ada sedikit peningkatan tetapi malam ni benar-benar mengikut perancangan. Fandi banyak berkongsi idea dan akhirnya kita berjaya memerangkap PJ City,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dollah juga mengakui terkejut apabila Sri Pahang kini melonjak ke tangga keenam liga dan berharap para pemain dapat mengekalkan konsistensi dan kecemerlangan ini bukan setakat di tahap ini sahaja.
Dalam masa sama, beliau juga menjelaskan bahawa mereka tidak boleh mudah berpuas hati kerana konsistensi di dalam padang dan disiplin pemain itu sangat penting untuk merubah Sri Pahang dari sebuah pasukan yang bergelut kepada pasukan yang hebat.
Sri Pahang akan berdepan dengan Melaka United di Stadium Hang Jebat pada Sabtu dan beberapa kecederaan yang dialami oleh para pemain sedikit merisaukan Dollah kerana bimbang mereka terlepas perlawanan yang penting ini.