KEMARAU kemenangan Petaling Jaya City FC (PJ City) berterusan kepada 11 perlawanan selepas kali ini tunduk kepada Sri Pahang FC 0-3 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Namun ianya tidak menimbulkan kerisauan kepada pengendali, P.Maniam yang menegaskan hanya masa yang akan menentukan bila PJ City akan kembali mencipta kemenangan.

Maniam yang ditemui dalam sidang media selepas perlawanan itu juga mengakui pasukannya kelihatan kurang cergas dan memberi Sri Pahang ruang terlalu besar yang akhirnya dihukum oleh lawan dengan gol yang pantas.

“Kita gagal bermain baik pada separuh masa pertama. Biasanya kita akan mengawal perlawanan tetapi ramai juga pemain kita tidak beraksi dengan baik.

“Kami kelihatan kurang cergas dan kami sering beri banyak ruang dan masa buat Sri Pahang mengatur gerak dan tidak bermain seperti kebiasaan malah saya kecewa dengan corak permainan yang ditunjukkan para pemain.

“Kami seharusnya sudah memenangi beberapa lagi perlawanan tetapi kami sering mencatatkan keputusan seri. Saya percaya PJ City akan memenangi perlawanan selepas ini kerana pemain memberikan segalanya ketika latihan dan hanya masa sahaja yang akan menentukan bila PJ City akan menang,” jelas Maniam

Ketika ditanya mengapa dia membawa masuk Mahali Jasuli sebelum menukarkannya kembali, Maniam mempunyai sebab tersendiri untuk melakukan perkara demikian kerana dia kurang sihat dan mahu memberikan Mahali minit permainan namun dia tidak mampu mengatasi kecederaan yang dialami.

Maniam kini perlu mencorak strategi pasukannya dan akan menukar rejim latihan untuk menghadapi Negeri Sembilan bagi memastikan mereka kembali ke landasan sebenar dan dapat merasai semula nikmat kemenangan yang terakhir kali dilakukan pada 9 April lalu.