TINDAKAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik diri daripada penyertaan Piala Negara-Negara CAFA 2025 pada saat akhir mengundang rasa kurang senang badan penganjur, Central Asian Football Association (CAFA), yang tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berunsur sindiran dan kekecewaan.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, CAFA menegaskan bahawa Malaysia telahpun mengesahkan penyertaan lebih awal dan maklum sepenuhnya mengenai tarikh kejohanan iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September 2025 — yang menurut CAFA “tidak pernah berubah sejak awal.”

Malah, CAFA menyatakan keputusan lewat Malaysia menarik diri telah “mengganggu proses penganjuran yang sedang berada pada fasa perancangan akhir,” sekali gus mencerminkan betapa seriusnya impak pembatalan saat akhir itu terhadap struktur kejohanan.

FAM sebelum ini memaklumkan penarikan diri dibuat kerana kejohanan tidak jatuh sepenuhnya dalam jendela antarabangsa FIFA, menyebabkan isu pelepasan pemain timbul, apatah lagi dengan beberapa tonggak negara beraksi di liga utama seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun.

Namun, CAFA membalas kenyataan itu dengan menyebut bahawa peraturan kejohanan membenarkan pendaftaran pemain dilakukan secara fleksibel dan “berdasarkan perlawanan demi perlawanan,” sekali gus menegaskan bahawa pemain utama masih boleh menyertai kejohanan secara berperingkat.

Reaksi CAFA itu dilihat ramai pemerhati sebagai bentuk sindiran terhadap FAM, seolah-olah memberi bayangan bahawa alasan yang diberikan Malaysia boleh ditangani sekiranya ada komitmen penuh untuk menyertai kejohanan.

CAFA turut menyatakan pihaknya akan tetap meneruskan penganjuran kejohanan tersebut dengan penuh komitmen, sambil mengucapkan terima kasih kepada negara-negara lain yang terus menyokong dan bekerjasama secara profesional.

Tindakan Malaysia menarik diri bukan sahaja mencetuskan persoalan di peringkat antarabangsa, malah berpotensi menjejaskan imej diplomatik bola sepak negara jika tidak ditangani dengan penjelasan yang lebih konkrit.

Kini, tumpuan terarah kepada FAM sama ada akan memberi respon lanjut atau kekal dengan pendirian awal — bahawa keputusan tersebut dibuat demi jangka masa panjang skuad kebangsaan dan persiapan kelayakan Piala Asia.