MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan program Road To Gold (RTG) untuk menamatkan pencarian pingat emas pertama negara sebagai tidak gagal sebaliknya ia masih belum berjaya.
Hannah menyatakan ini kerana RTG adalah program jangka masa panjang yang dilaksanakan untuk memburu pingat emas pertama buat Malaysia di bagi dua temasya Sukan Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
“Seperti yang diumumkan, RTG adalah untuk dua Olimpik iaitu Paris dan Los Angeles. Selepas penubuhan RTG selama satu tahun setengah, kita dah sasarkan untuk mendapat pingat emas pertama pada dua Temasya Olimpik.
“Jadi kita belum berjaya mendapatkan pingat emas pertama dan seperti yang saya nyatakan, pemegang taruh kita dalam RTG adalah atlet dan jurulatih kerana ini program ini adalah ‘top service’ yang diminta oleh atlet untuk mereka pertingkatkan peluang dapatkan pingat emas,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris.
Hannah yang juga Pengerusi Bersama RTG turut menjelaskan meskipun kontinjen Malaysia tidak membawa pulang pingat emas pada Olimpik kali ini namun program itu menyaksikan peningkatan prestasi bagi beberapa atlet.
Ini terbukti apabila tiga atlet telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada temasya itu iaitu pelumba basikal trek Datuk Azizulhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan selain terdapat beberapa atlet lain yang berjaya memecah rekod peribadi.
“Saya bagi pihak kontinjen Malaysia memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kami masih belum berjaya untuk membawa pulang pingat emas yang pertama buat negara tetapi kita dapat lihat setiap atlet telah bertungkus lumus cuba mendapatkan peluang terbaik untuk meraih pingat,” jelasnya.
Hannah berkata Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat bagi mendapatkan laporan teknikal daripada kesemua pasukan untuk menilai prestasi serta akan menyediakan laporan beraudit bekenaan perbelanjaan program itu.
Namun, dia menjelaskan pihaknya memerlukan masa untuk bermesyuarat dan menyediakan laporan tersebut kerana berdepan jadual padat susulan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dan Sukan Paralimpik Paris selepas ini.