JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi perlukan tempoh rehat singkat untuk mengembalikan semula fokusnya, selepas dia mengakui sudah lama tidak mendapat rasa teruja dan keseronokan berlari pada kejohanan-kejohanan disertai.

Dengan raut wajah agak muram ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kazakhstan hari ini, pelari berusia 20 tahun itu mengakui tidak mendapat tempoh rehat mencukupi berikutan terlalu banyak berada dalam perjalanan.

Muhammad Azeem Fahmi juga sibuk dengan kalendar kejohanan sepanjang musim lalu, tetapi dia tidak melupakan rasa teruja dan keseronokan berlari tanpa tekanan terutamanya di Sukan Asia Hangzhou.

“Saya rumuskan yang saya penatlah, dari musim lalu saya tidak mendapat off season yang secukupnya.

“Kawan-kawan saya (Universiti Auburn) ramai mendapat rehat dari bulan Jun, ada yang menggalas tanggungjawab menyertai kejohanan dunia, berehat selepas Ogos tetapi saya mengambil bahagian di Sukan Asia hanya mendapat rehat kira-kira tiga minggu.

“Tapi ini bukan alasan untuk menggambarkan pencapaian dan prestasi saya musim ini, cuma saya nak katakan saya perlukan quick short break untuk recharge mental and physical,” kata Azeem, ditemui di KLIA, bersama pelari 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy.

Muhammad Azeem Fahmi (kiri) bersama Shereen Samson Vallabouy (kanan) tiba di KLIA pagi ini, menunjukkan pingat yang dimenangi mereka pada Terbuka Kazakhstan.

Azeem terlepas tiket untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024, selepas hanya menamatkan acara 100 meter (m) Terbuka Kazakhstan di kedudukan ketiga dengan catatan 10.37 saat (s), sekali gus gagal melepasi masa kelayakan 10.0s.

Mengulas mengenai peluangnya ke Paris menggunakan tiket wild card, Azeem mengakui tidak akan berasa terkilan jika dirinya tidak dipilih.

“Saya tidak terkilan jika tidak mendapat tiket wild card, saya tahu walau sesiapa yang membuat keputusan mengenainya akan melakukan yang terbaik dan saya tahu di mana kedudukan saya.

“Saya menerima apa sahaja keputusan dengan terbuka dan sekiranya gagal ke Paris, saya sasarkan untuk ke Olimpik Los Angeles 2028,” tambah Azeem.

Muhammad Azeem Fahmi mencari semula keseronokan ketika menyertai kejohanan.

Menurutnya, pada Temasya LA28, dia akan berada pada kemuncak prestasi acara pecut iaitu pada usia 24 tahun.

“Jika dipanjangkan umur dan rezeki dalam sukan iin, ia bakal menjadi masa terbaik untuk saya memuncak pada 2028 tetapi sudah tentu cabaran yang akan saya lalui juga akan bertambah untuk saya berkembang dalam sukan ini.”

Selepas ini, Azeem akan menggalas cabaran mewakili kontinjen Universiti Malaysia ke Sukan Universiti Asean (AUG) yang berlangsung di Surabaya-Malang, Indonesia yang bermula hari ini.