KEJAYAAN yang digapai oleh pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagaikan kisah dongeng yang akhirnya menjadi kenyataan.

Malah, ia berjaya menarik perhatian daripada legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang teruja melihat kebangkitan badminton beregu di Kejohanan Badminton Dunia.

“Peliknya 11 negara sudah pun bergelar juara tetapi bukannya Malaysia. Percaya tak, Sweden, Amerika Syarikat dan Singapura pun pernah juara tapi bukan negara kita.

“Tapi hari ini, sejarah sudah pun dibetulkan oleh Aaron-Wooi Yik apabila mempamerkan aksi yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Malaysia… we are the CHAMPION ,” katanya menerusi Facebook.

Jelas pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang pernah bermain di pentas akhir pada 2011, 2013 dan kali terakhir 2015, wakil negara beberapa kali nyaris mendakap emas namun terkandas apabila tewas di tangan lawan masing-masing sejak penyertaan Malaysia di kejohanan dunia pada 1977.

Semalam, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan beregu ranking keenam dunia berada dalam kelas tersendiri menewaskan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19,21-14.

Siri kejayaan itu mengakhiri gelaran juara pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 terbabit sejak digandingkan pada 2017.