PENGENDALI skuad Piala Presiden Sri Pahang, Yazeed Hamzah berkata para pemainnya sudah memberikan segala-galanya tetapi kurang bernasib baik untuk muncul juara Piala Presiden.

Meskipun gembira dengan aksi para pemain tetapi Yazeed tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) III 2-4 menerusi agregat.

“Pemain sudah berikan yang terbaik tetapi tidak kami tidak bernasib baik. Kami sudah mencuba tetapi JDT lebih bijak memanfaatkan peluang dan Pahang sudah berikan aksi menarik dan saya berpuas hati dengan aksi pemain.

 

“Sudah tentu rasa kecewa pasti ada lebih-lebih lagi dihadapan penyokong sendiri. Tetapi inilah bola sepak, ada yang menang dan ada yang kalah dan selepas ini kami akan tumpukan perhatian pasal Sukma dan akan cuba untuk buat yang terbaik,” katanya selepas permainan.

Ditanya adakah ada pemainnya yang akan naik ke skuad utama Sri Pahang, Yazeed yakin kerana ada pemain yang pernah berlatih dengan team utama dan kini diintai Datuk Dollah Salleh yang turut sama menyaksikan aksi final itu

Skuad Piala Presiden Sri Pahang gagal mengubat kedukaan skuad Piala Belia yang juga tewas di final di venue yang sama setelah tewas 0-2 pada final kedua selepas terikat 2-2 di Pasir Gudang minggu lalu.